Tuesday, August 2, 2011

Perempuan Itu..~

Lihat ke dalam matanya duhai lelaki, apa yang bisa kau temui di sebalik kerdipnya.
Tertikamkah jantungmu oleh kilauan sinarnya.
Lalu terhenti detak jantungmu yang selalu kencang berlarian ketika mahu mengungkap cinta.
Pasti tidak terkata, bagaimana mahu menceritakan jalan yang terputus ketika mata bertemu mata.

Lihat ke dalam senyumnya, wahai jejaka. Mampukah kamu melukis garisan-garisan yang penuh rahsia pada setiap lekuk manisnya tawanya.
Tentu kamu terasa bagai mahu mencapai senyuman itu, lalu kamu ingin bawanya ke dalam hatimu.
Menjadikan ianya hiasan dinding jiwa sebagai penawar rindu yang semakin bergelora.

Lihatlah ke dalam bicaranya, Kekanda..
Dapatkah kamu meneka apa yang ingin dia ceritakan melalui kiasan-kiasan bersahaja.
Dapatkah kamu menterjemahkan makna-makna syairnya dengan sebuah cerita.
Pernahkah kamu mahu cuba masuk ke dalam alam selokanya agar bisa kamu selami derita dan bahagia yang sedang dia kejar-kejar.
Perempuan itu, telah memaku pintu hatinya dengan paku emas.Kemas!
Perempuan itu telah menancapkan tiang kasihnya jauh ke dasar bumi cinta.
Perempuan itu telah memayungi dataran setianya dengan khemah asmara.
Dia sedang mengubur jiwanya ke dalam pusara cinta.Kerana katanya, jiwanya sudah tidak punya apa-apa, kecuali rasa cinta kepada DIA.
Perempuan itu,ketawa dalam jurai airmata.
Perempuan itu menangis dengan hilai yang bergema.

HasmaMaymeng - 21/7/2011- Ruang Rindu.

No comments:

Post a Comment