Friday, August 5, 2011

~ Ku genggam angin semalam, ku gubah menjadi potret kenangan.
Ku simpan dalam kotak ingatan, ku jadikan ia teman..
Ku lepaskan derita kelmarin, ku hembus menjauh dari bentangannya
ku kutip sisa yang berguguran, ku semat jadi pengajaran.
Ku gapai berjuta harapan, ku cuba lakar menjadi lukisan...
ku gantung pada tiang kesungguhan, ku angkat ia jadi azimat kekuatan.

Tuesday, August 2, 2011

Perempuan Itu..~

Lihat ke dalam matanya duhai lelaki, apa yang bisa kau temui di sebalik kerdipnya.
Tertikamkah jantungmu oleh kilauan sinarnya.
Lalu terhenti detak jantungmu yang selalu kencang berlarian ketika mahu mengungkap cinta.
Pasti tidak terkata, bagaimana mahu menceritakan jalan yang terputus ketika mata bertemu mata.

Lihat ke dalam senyumnya, wahai jejaka. Mampukah kamu melukis garisan-garisan yang penuh rahsia pada setiap lekuk manisnya tawanya.
Tentu kamu terasa bagai mahu mencapai senyuman itu, lalu kamu ingin bawanya ke dalam hatimu.
Menjadikan ianya hiasan dinding jiwa sebagai penawar rindu yang semakin bergelora.

Lihatlah ke dalam bicaranya, Kekanda..
Dapatkah kamu meneka apa yang ingin dia ceritakan melalui kiasan-kiasan bersahaja.
Dapatkah kamu menterjemahkan makna-makna syairnya dengan sebuah cerita.
Pernahkah kamu mahu cuba masuk ke dalam alam selokanya agar bisa kamu selami derita dan bahagia yang sedang dia kejar-kejar.
Perempuan itu, telah memaku pintu hatinya dengan paku emas.Kemas!
Perempuan itu telah menancapkan tiang kasihnya jauh ke dasar bumi cinta.
Perempuan itu telah memayungi dataran setianya dengan khemah asmara.
Dia sedang mengubur jiwanya ke dalam pusara cinta.Kerana katanya, jiwanya sudah tidak punya apa-apa, kecuali rasa cinta kepada DIA.
Perempuan itu,ketawa dalam jurai airmata.
Perempuan itu menangis dengan hilai yang bergema.

HasmaMaymeng - 21/7/2011- Ruang Rindu.
Kerana Apa...~

Tiba-tiba hati hamba berdebar deras
ombak cemburu menghempas pantai kawalan.
Memerhati tingkahnya insan tanpa sedar
Hamba pasrah pada usikan jiwa.
Kerana apa hamba enggan jatuh cinta..
kerana benci pada rasanya cemburu buta
kerana apa hamba sering mengelak jatuh hati...
kerana selalu tewas dan akhirnya menangis sendiri.
Kerana apa saya tidak peduli mahu bercinta
kerana sering kali tersakiti..
lebih-lebih lagi cemburu yang tajamnya bergerigi.....

HasmaMaymeng 18/03/11-Lorong Cemburu.
Tidak Mengapa....

Tidak mengapa SyG..saya akan tabah di sini..
meniti hari nan sepi tanpa hadirnya kamu.
Saya akan mencuba untuk terus melangkah
meskipun dari hari ke hari kaki kian lemah..
Tak mengapalah syG..saya akan teguh berdiri
di sini bersama sepikul rindu yang belum terlunas
lantaran perpisahan oleh waktu..
yang mana di antara itu,kita memanjat tangga harapan
untuk bertemu dan bersatu hati.
Hari bahagia yang selalu kamu dambakan.
Tidak mangapa syG...saya mampu tersenyum lagi
walau garis senyum itu tampak duka bertamu..
walau garis senyum itu paksaan sahaja.
Tidak mengapa syG....
mencintaimu hanya dari kejauhan.
merinduimu hanya dalam diam....~

HasmaMaymeng 16/03/11-Lembah Kenangan.
Mahu kamu mengerti ~

~ maukah kamu andai saya menghulurkan tangan yang terketar dan jemari yang dingin.Bersama melangkah ke sana,melihat betapa dalamnya lembah kenangan sebuah luka ...
maukah kamu andai saya mengajak berlari di tepian sungai berdarah,menghidu bau yang kurang enak di sana..
menyaksikan panorama sebuah duka...
maukah kamu dengar andai saya syairkan sebuah cerita cinta,penuh rindu dan duga.Selalu tersungkur mereka pada liku-liku biasa.Jatuhnya berulang.Dan hari ini berakhir semudahnya tanpa merasa kesan sakit yang tercalar di seluruh badan dan kaki...~
Dan di akhirnya nanti..
saya mahu kamu mengerti.Mentari pagi yang selalu saya harapkan tersenyum terlalu banyak menyaksikan hujan yang turun ketika langit bercahaya cerah.
Dan bintang yang berkelip indah pada langit malam menemani saya ketika... dingin malam membungkus hati yang masih membeku..
Saya masih berada di sana..mengharapkn bahang malam menghangatkn sebuah harapan...

HasmaMaymeng-15/03/11-Lemb​ah Kenangan.
Benarkah....

Apa benarkah waktu ini hatiku terusik oleh rindu
bila larian waktu sering sahaja membawa bayangnya
hampir kepadaku.
...Apa benarkah ketika ini dia mengetuk pintu hatiku ~ bertalu-talu
dengan sedulang hantaran berupa untaian kata-kata semangat.
Memberiku ilham baru.
Apa benarkah yang aku dengar dari lafaz lidahnya ~ Cinta..
yang dihulur dengan manis bicara penuh bermakna.
bersama lamaran yang tidak kuberikan jawapannya
Lantaran hati masih membeku..
benarkah semua ini sedang kulalui
benarkah semua ini bukan sekadar mimpi
benarkah ya Tuhan..Kau temukan kami di sini..
atau semua ini hanyalah secebis dugaan yang sering aku temui.
Benarkah.....~

HasmaMaymeng -12/03/11 -Lembah Kenangan.
Rintih Hati Yang Berdarah....

Wahai pemilik jiwa dan raga..
Hamba-Mu ini sedang berdiri di bawah bentangan langit jingga
menyaksikan terbitnya sang suria..
mendengarlah lantai bumi ini pada rintihku
yang sedang berdarah hatinya...
bila airmata jatuh dan pecah membasahi hujung jari kaki.
Duhai pencipta duka dan gembira..
Hamba-Mu ini sedang tertunduk merenung jauh ke dasar kenangan
di sana ada dosa-dosa yang entahkan terampun
dengan sujud dan doa-doa atau mungkin jua
masih terawang di angkasa harapan.
Tuhan..sembuhkanlah luka di hatiku
dengan hiburan yang indah dalam janji-janji-Mu
di helaian warkah cinta-Mu
di setiap rahsia-rahsia ciptaan-Mu.
Aku tampil di sini Ya Allah..membawa hatiku yang berdarah..
penuh titik noda yang hitam
memudarkan wajah nan sedia suram.
Dengar rintihku..dengar rayuanku..
berikan aku kekuatan,dari semangat yang teramat kuperlukan..
kurniakan aku cahaya dari bukaan langit-Mu
bekalkan aku cinta dari kasih sayang-Mu..
kerana aku sudah longlai berdiri dengan sendi yang tidak terkunci
bisa saja rebah andai terusan dilanggar bayu ujian.
Aku mahu melangkah Ya Allah..kehadapan-Mu
aku ingin berlari mendekati-Mu
dan seandainya aku benar-benar telah hampir kepada-Mu
maka rentap nyawa dari tubuhku
Aku mengharapkan keabadian di sisi-Mu
hanya mahu mati sebagai Hamba-Mu

HasmaMaymeng 11/03/11-Lembah Kenangan.
Pernahkan Terfikir~

Pernahkah engkau teringat hari-hari paling indah dalam kisah kita..
ketika aku tertawa dengar ceritamu..
ketika engkau tersenyum dengar usik sendaku..
ketika kita sama mengaku cinta dan rindu mula beraja..
dan cemburu menjadi gila..
kisah indah bertukar wajah..suram
bila antara kita ada dia..
mengalih pandanganmu dari wajahku.
....ku lepaskan jemarimu yang kian dingin dalam genggaman..
hari-hariku kembali sepi
dari celah-celah kebahagianmu,aku memerhati dengan hati yang berdarah.
aku tetap di situ..
menangisi sesuatu yang bukan lagi milikku.

Pernah kah kau terkenang,pada hari kau mahu kembali
dan aku sedang lemas di tasik kerinduan..
bernafas melalui ruang sempit..
engkau,ku lihat berwajah kusut
masih juga cinta ini mahu memberikan udara
untukmu bernafas di dalam hatiku.
Sekalipun dinding hatiku telah robek dan calar
warnanya tetap sama..Sedarkah engkau wahai pria?

Pernahkah kau memikirkan,tentang ketulusan ketika aku masih setia di sini
setelah kau tinggalakan bersama sejuta kenangan...
aku dicerca dan dihina kerana mencintaimu..
aku dikutuk kerana enggan melupakanmu..
apakah itu belum cukup sebagai bukti...

HasmaMaymeng 7/3/2011-Lembah Kenangan.
Bertemankan Memori –

Ku meraba pada warna yg pudar dalam cahaya
ketika gelisah kian menarikan lenggoknya
Aku temui bayang cerah di hujungnya masa
Menemaniku sehingga pada satu lorong ceria.
Di sana aku pernah tertawa dengan celoteh dan cerita
Di sana jua kupernah menangis terluka dan redho..

Semalam,ku temui bingkisan kenangan
Kubaca dan kuhayatinya..
Sesekali derai tawa tanpa sangka menceriakan suasana
Walau kaku lantai dan dinding bersamaku…
Sesampai pada warkah dan pesanan akhir
Kusimbahi ruang ria dengan sejuta rasa rindu..
Yang disulami rasa pilu nan amat.
Begitulah hari-hariku..
Sepi dan terasa kosong.
Bila kini kau tiada menyapa lagi
Dan menemaniku berlari di pantai masa.
Satu-satu helaian kenangan tertutup jua
Sudah tiba masanya
Kukembali pada asalnya..biarpun hanya
Bertemankam memori ~

Seketika mengorak langkah
Di dada waktu
Tersenyum aku mengenangmu.


HasmaMaymeng 24/02/2011 – Lurah kenangan.
Aku Menangis ~

Duhai hati..
Bertahanlah untuk tidak lemah,meski runtuh jua tembok angkuh
menghempap lantainya harapan.
Lalu pecah dan berkeping-keping jadinya.
Tahukah kau duhai cinta..
betapa sakitnya menelan tangis yang mahu pecah di anak kerongkong.
Rasanya seperti menelan duri yang amat tajam
menghiris rongga tekak dan menikam sebuku hati ini.
Yang di dalamnya ada kamu.

Tatkala riang kita di serambi asmara baru bermula
pagarnya terasa goyah oleh tamparan desir bayu cemburu...
Engkau, ku lihat berwajah murka
malap seketika cahaya cinta.
Aku hembus nafas rayu dengan penuh rindu
bersamanya inginku sentuh kamu..
biarpun seketika dalam bebayang hitam.
Engkau sekilas berpaling tidak memandangku..
yang terawang di langit duka..
lalu tanpa rela..
di sana aku menangis..

Sayang,cuba kau sentuh angin yang berhembus di sisimu..
dapatkah kau merasakan kehadiranku
seperti aku selalu mendakap bayanganmu lewat nota-nota singkat penuh nada rindu.
Terasa hangatnya menusuk hingga jauh ke dalam lohong kalbu ini.
percayalah kekasih...
aku menangis tika rindu menebal kini..
aku menangis bila cemburuku mengatasi rindu..
aku menangis jika kau meraguiku..
aku menangis ketika mimpiku lesap kala mentari mulai menunjukkan diri.
Di kaki langit itu aku selalu berdiri..
menangis membilang masa yang berlalu.

HasmaMaymeng- 22/2/11 -Ruang Rindu