Monday, March 26, 2012

Lepaskan saja...

Saya ditanya soalan tentang perasaan.Antara rela dan terpaksa, hidup ini sebenarnya sebuah 'kota' yang terbina dari serpihan kegagalan yang mengajar erti kejayaan mahupun kebahagiaan.Mahu berhenti pada langkah yang tersungkur atau bangkit dan melangkah semula.Tidak semua boleh melangkah dengan mudah.Malah banyak yang gagal mahu berlari meskipun telah bersiap di garisan permulaan.Apa-apapun, ini lah hidup.Mahu atau tidak, perjalanan kita belum tentu panjang dan tidak pasti singkat.

Seorang kawan mengadu hasrat ingin berpasangan.Bukan kali pertama, tetapi sudah berulang kali menyatakan hasrat ingin punya pasangan dan membina sebuah keluarga.Apa daya, jika Allah telah menyuratkan dalam suratan takdirnya, cinta tidak semestinya bersatu, maka apa lagi yang terdaya dilakukan.Melangkahlah kawan, jalan itu bukan laluan yang sesuai.Maknanya, dia bukan jodohmu.Mari kita mulai langkah baru pada laluan yang lain, siapa tahu....untung sabut timbul.Untung batu tenggelam.Ah, sukar juga memberi semangat kepada hati yang berduka.Bicaranya penuh rasa hampa dan terasa perit juga mahu menyelami apa yang sedang dirasa.Alhamdulillah, mungkin sudah nasib yang hampir sama...saya tahu, rasa kecewa, hampa dan duka yang melilit tangkai hati.Lebih lagi seorang wanita.

Lepaskan saja walau sukar.Mungkin di situ, ada hikmah terbesar yang Allah mahu berikan.Lepaskan saja, walaupun rasanya sangat sakit.Mungkin di sana, kesakitan yang terasa akan mengajar kita erti syukur dengan nikmat yang ada.Lepaskan saja, jika inilah hakikat yang terpaksa diterima.Antara rela dan terpaksa, di tengah-tengahnya ada rahsia....

Lepaskan saja, saya.Tiada batas rasa kasih dan sayang, tanpa jemu dan ragu.saya merelakan, kamu mungkin tenang bersamanya.Dan saya dihadirkan untuk menguji hati sesama kita.

Lepaskan saja, kawan.Kita mula hidup baru.Walaupun ia mungkin masih berwarna kelabu.Di situ kita kutip debu untuk membena harapan baru.

Lepaskan saja, kita berhenti sampai di sini. 

No comments:

Post a Comment