Saturday, June 23, 2012

Andai Takdirnya...

Aku tersentak agak lama.Menggigil jemari dan tubuh badanku.Fikiran mulai mengosong.Sekelilingku tampak sangat asing...Kekuatan yang merangkak dari arah mana, mengajak aku berteleku memikirkan jalan yang telah aku tempuhi hari ini, semalam dan sebelumnya.
Ya Allah, ujian apakah ini? Apakah benar, aku manusia terpilih melalui ujian yang sangat perit ini.Janji apakah yang Engkau mahu berikan kepadaku?
Kulontar pandangan kosong seperti kosongnya fikiran yang sedang kurasai.Kelam warna langit, ada rintis hujan malu-malu mencium permukaan bumi.Kusentuh dada yang terasa perit dan sebak.Degup jantungku tidak sekata, yang kurasa ia laju dan kucar kacir.Berdenyut seluruh sendi, lantaran dipaksa untuk gagah berdiri.Aku enggan menangis!
Ya Allah, berikan aku secebis lagi kekuatan.Andai takdirnya aku kehilangan tenaga untuk terus berjalan di laluan ini.Aku hanya meminta untuk mampu membawa diri.Ke sisiMu ya Tuhan, bersama harapan...Ku ingin segera memegang janjiMu.
Hah..! Kebenaran mungkin telah jelas.Aku tidak mahu tahu apa sudahnya.
Doa dan harapanku, berbahagialah kalian.

Wednesday, June 20, 2012

Menyesalkah Aku...

Ketika engkau datang bersama harapan,
Tiada tertepis segala dugaan.
Kau tahu, ku ingin pulang...
Kau tahu, aku telah kelemasan.
Melihat engkau di sudut kejauhan
Tertindih perasaan antara kasih dan keraguan.
Ku mahu melepasakan derita yang bertandang
memberi engkau bongkah bahagia.
Aku rela menderita...
Menyesalkah aku pada jalanan sejauh ini
Memilih bersamamu untuk diduga.
Engkaukah atau akukah, yang mengapai bayang kenangan
Mencari titik kesudahan
Harapan setinggi langit.
Engkau tahu, aku takut rebah kerana aku lemah.

Kuantan,Pahang
21/6/12- 2.37am

Friday, June 1, 2012

Fitnah...!

Semalam, selepas asar saya menemani mak meraut lidi.Seronok pulak meraut lidi di tepi rumah usang kami sambil berborak santai dan sesekali bergurau bersahaja.Gembira melihat mak ketawa.Selalu tak sedar bila bersama mak melakukan aktiviti santai begini membuatkan fikiran yang celaru jadi lapang.Masa yang beredar pun kadang-kadang rasa sangat cepat.Lalu, selalu juga berharap masa sebegini akan berualang lagi dan lagi. Menghampiri waktu maghrib, senja hari itu tidak berwarna indah.Jingga atau merah.Yang kelihatan dalan sedar, warna kehitaman dan malap.Lampu-lampu juga mulai benderang.Beberapa ketika sebelum berkemas-kemas membersihkan sisa lidi yang diraut, mak berkata dengan nada agak perlahan.Sebenarnya menasihati dan berpesan kepada saya... Agak tersentak kerana firasat seorang ibu itu selalu benar.Apa yang mak sebut dalam pesan dan nasihatnya adalah situasi yang sedang saya lalui.Cumanya saya enggan mak tahu kerana bimbang dia bersedih dengan apa yang sedang saya alami sejak kebelakangan ini.Mak berpesan tentang bahana fitnah, lebih-lebih bagi orang seperti saya.Terasa hangat dada menahan rasa.Bagai mahu menangs tetapi saya juga tidak mahu mak tahu sebenarnya saya sudah kekeringan airmata kerana difitnah teruk oleh insan-insan yang saya hormati.Serentak itu, kesan situasi yang saya alami, hari ini saya hilang rasa mengkagumi sesiapa.Apalagi menjadi orang yang lembut hatinya.Saya sedar, sejak itu saya menahan diri dari melepas AMARAH yang marah.Alhamdulillah, saya bertahan.Cumanya saya gagal memujuk diri untuk memaafi.Selalu bermain di kotak fikiran... Fitnah itu adalah sesuatu tuduhan yang tidak benar.Dilemparkan kepada seseorang dalam sedar atau tidak sehinggakan menjadikan seseorang itu kelihatan buruk akhlak dan peribadinya kepada orang lain.Kesan fitnah itu boleh menimbulkan banyak pekara buruk berbanding baiknya.Sesuatu yang sanagt menyedihkan bila fitnah itu menjadikan saya seorang pendendam dan keras hati.Subhanallah...Allah itu sangat adil! Meskipun di dunia saya nyata tidak mampu berbuat apa-apa sekalipun membela diri dari fitnah tersebut, saya yakin Allah akan meberi pembalasannya.JIKA TIDAK DI DUNIA, PASTI DI AKHIRTA KELAK. Saya melihat mak berlalu meninggalkan saya sendirian di samping lidi-lidi yang sudah selesai diraut bersih.Dan sisa lidi yang bertabur, saya sapu perlahan bersama segugus rasa yang hanya Allah tahu.Bila semuanya selesai, saya juga berlalu.Masa untuk mengadu kepada Yang Esa, tentang ujian hidup dan fitnah yang menyakiti.Mak kelihatan tenang berkata-kata, tapi saya tahu dalam hatinya, sakit! lebih sakit dari apa yang saya rasa. Semoga Allah memberimu kekuatan wahai ibu.Jangan gusar tentamg hidup anakmu ini.Berdosanya saya bila tidak bertaubat hingga terkesan pada kedua orang tua yang telah membawa saya pada hidup hari ini. Ya Allah...ampuni saya.